Cikgu moon

1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki.

Dah sayang la katakan… jadi apa sahaja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah seratus peratus. Maksudnya ialah wanita yang percaya membuta-tuli dan menerima apa sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras adalah amat tidak wajar.

Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya tentang apa yang ditanya atau diragui oleh pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan sahaja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa sahaja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?

2. Wanita yang “terdesak” untuk berkahwin.

Kerisauan terhadap faktor umur yang meningkat, tekanan ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika kahwin lewat mampu menyebabkan sesetengah wanita seolah-olah “terdesak” untuk mencari pasangan hidup.

Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh “terlepas pandang” tentang sikap, kualiti, dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu.

Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya secara tidak langsung membawa maksud mereka sudah mempunyai tahap kewangan yang stabil.

Ini memungkinkan mereka menjadi mangsa “buaya professional” yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda dalam golongan wanita seperti ini, ingat… biar lambat, asal selamat!

3. Wanita “sosial”.

Sosial dalam hal ini ialah suka kepada “night life”, disko, berparti, “clubbing”, pergaulan bebas tanpa had dan hidup dengan falsafah “life is short, so have fun!”, atau “masa muda ni la nak rasa macam-macam..”. Fahamkan maksud saya?

Wanita-wanita ini (lebih ramainya gadis remaja), yang melibatkan diri dengan cara hidup bebas dan sosial seperti ini terang-terangan mendedahkan dan “mengiklankan” diri sendiri kepada “species” lelaki pemangsa wanita.

Bersosial tanpa batasan adalah di antara resepi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu sekaligus dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Tepuk dada, tanya selera!

4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu.

Wanita yang berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak “terpilih” lelaki penipu dan berbahaya. Sekiranya dia “terjebak” dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Ia juga bermaksud wanita yang mengetahui hak-haknya sebagai wanita dan sebagai seorang isteri. Wanita yang berilmu juga berani “membetulkan” keadaan dan mempertahankan haknya bila perhubungan/perkahwinannya terganggu/diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.

Wanita yang mempunyai segulung ijazah atau Ph.D pun boleh ditipu dan dipermainkan lelaki “species berbahaya” ini…apatah lagi jika wanita yang hanya meletakkan 100% kebahagiaannya ke atas lelaki dan langsung tidak mahu atau mengambil mudah untuk meningkatkan ilmu dalam diri?

5. Wanita melihat “faktor fizikal” sebagai salah satu ciri utama pada lelaki idamannya.

Mudah jatuh cinta dengan lelaki handsome? Atau mungkin juga lelaki “cute”, “macho”, dan mempunyai fizikal yang begitu menggoda hati?

Ingat..semakin “handsome”, “cute”, “sexy” seseorang lelaki itu, sebenarnya semakinlah anda sebagai wanita perlu menggandakan “sistem pertahanan” diri. Kalaulah ramai wanita boleh diperdayakan oleh lelaki yang TAK “handsome” dan seumpamanya, apatah pula risiko ditipu oleh lelaki yang “handsome”?

Nasihat untuk wanita yang mudah “cair” dengan lelaki seperti ini, dan menjadikan lelaki seperti ini sebagai “target” utama ciri bakal pasangan hidupnya: fikir masak-masak!

6. Wanita yang “sabar” tidak bertempat.

Wanita dalam golongan ini boleh kita katakan jenis yang selalu “makan hati berulam jantung”, atau mungkin juga dah sampai tahap “makan tangan berulam kaki”. Dia didera(fizikal atau perasaan), tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan/suaminya namun masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar dia terseksa dan tertekan.

Soalnya di sini, bila diperlakukan sebegitu, dia hanya “berharap” pasangannya akan berubah pada satu masa nanti TANPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tidak salah bersabar. Malah sabar adalah satu sikap yang baik, dituntut, terpuji, dan mulia. Namun demikian, sekiranya kesabaran itu akhirnya membawa mudarat terhadap diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.

Bersabar walau diperlakukan apa sahaja oleh lelaki/pasangan seperti ini seolah-olah memberi “lesen” kepadanya untuk terus mendera, menipu, dan menghina maruah wanita yang terlibat.

0 Responses

Post a Comment

mARi sOLAt